Friday, January 7, 2011

Mengisi Usia

Usia ini berat penuh sarat,
Rasaku catatan kiri lebih berat dari yang dicatat pada kanannya.
Di mana-mana ada sahaja kejahatan yang lazat boleh kita kecap.
Tekan sahaja akan muncullah sang penghairah,
Tekan sahaja akan muncullah sang teman mengubat kesunyian.

Dunia yang penuh padat sesak ini, manusia masih rasa sunyi.
Bibir penuh juadah fikiran masih berfikir untuk menambah hasil.
Solat, rukuk sujud duniawi masih ditafsir.
Rekodlah sang pencatat segala kekukaciran manusia yang kerdil malah amat fakir.


Mata yang melihat ini masih belum mahu buta.
lelaki dan wanita,
lelaki-lelaki dan wanita-wanita,
semua lelaki dan wanita masih mampu mengendong usia..

Lelaki dengan cerita lelakinya,
Wanita dengan cerita wanitanya.

Lelaki bercerita tentang wanita-wanita.
Wanita bercerita tentang lelaki.

Setia
Tidak setia.

Puas
Tidak puas.

Dunia jadi indah dengan gelagat,

Usia memahirkan kita ....







Kamalia.
12.48a.m

8 jan 2010

Usia

Meningkat satu tangga,
Menapak ke satu tangga,
Di kaki tangga itu kulihat usia-usia pada manusia.


Usia ini mengutip resepi kehidupan,
Manis senyuman ,
Indah rasa bahagia,
Masam mencuka rasa duka,
Selebihnya tangis tawa.


Usia ini menyimpan kenangan,
Usia yang kukenal sahabat paling rapat menyimpan rahsia.
Duhai usia, marilah kita rakamkan kenakalan mata,
Duhai usia, marilah kita ramas santan kenangan yang kita parut dari nyior tua kehidupan.
Kisah, cinta, usik mengusik mewarna nafas yang berombak di dada padat montok memori.


Sesekali meliriklah pada bibir yang sentiasa basah memerah senyum.
Sampai ke hujung usia , aku akan menemanimu membilas segala kotoran yang melekit pada pakaian hati.

Usia makin kencang mengejarku...
akan kutunggu kamu berlari mengejarku...
Kelak akan kusambut hadirmu,
Kudakap dan akan kubaringkanmu saat waktu itu kutemu.

Saat itu, duhai usia.. kau jadilah saksi segala kenakalan,
Kau lihatlah...


Kamalia tidak pernah berhenti menanti usia ..

12,24 malam
7 jan 2010