Friday, February 25, 2011

MAHU DAN KEMAHUAN 2

Sunway 2.40 pagi
26 feb 2011

Bumi tuhan malam ini dipenuhi makhluk yang memohon kemahuan,
Kelam warna malam menjadikan mahu dan kemahuan yang lahir dari hati putih itu semakin jelas tercatit .
Mahukah Tuhan mengotakan mahu dan kemahuan mereka-mereka itu?

Tuhan sebenarnya tidak akan menuturkan keputusannnya,
Tiada juga sepucuk warkah meluluskan permohonan kita.


Ketika mereka meraba-raba mengadun mahu dan kemahuan menjadi maujud sebagai bukti besarnya mahu dan kemahuan itu sebenarnya mereka lupa, mahu itu hanya setitik dari birunya alam semesat.
Ketika mereka leka mengayak hancur kaca rindu yang retak ketika bumui bergegar , mereka lupa Tuhan telah menghantar jawapan.
Layakkan kita menghujahkan mahu dan kemahuan pada persidangan wakil-wakil Tuhan?


Mahu dan kemahuan dialun ombak kerinduan di dasar laut jiwa.
Bibir mengetap rasa fikiran.
Kemahuan digengam.
Mahu ditatap.
Mahu dan kemahuan menjadi irama celaru mengganggu lena .

Nafas berdesir,
Dada berombak,
Kelambu iman kian rabak,
Perjanjian hanya tunggu masa untuk koyak.
Mahu dan kemahuan makin sesak!
Simpang siur permohonan dan rayuan,
Jejantas dibina di bawah lebuhraya pentadbiran segala kemahuan.

Mahu dan kemahuan


Kamalia
2.57 pagi
26 feb 2011
sunway

Wednesday, February 23, 2011

Mahu dan Kemahuan.

24 FEBRUARI 2011,
SUNWAY.
11.41 am.

Mahu dan kemahuan.
Aku susunkan kemahuan dalam ukiran kata-kata indah yang dilahirkan dari harum wangi kerinduan.
Kemahuan itu aku hidangkan di atas dulang angan yang kutatang sambil melirik senyum pada tetamu hati.

Dulang itu berisi secangkir mahu.
Manisnya setara madu.
Indahnya bak awan membiru.
Kuhidangkan untuk kamu tetamu hati yang aku tempatkan di kamar rindu.

Persilakan tetamu hati ,
Santaplah secangkir madu yang kupetik dari nektar kuntum senyumku padamu.
Hiruplah manisnya kasih biar basah bibir keringmu.

Pertemuan mahu dan kemahuan itu berlangsung di awangan.
Angin ciptaan tuhan menghembus perlahan mengerdipkan kelopak mata dan dalam tempoh sesaat itu mata kita bertemu.
Mahu mula mengisyaratkan kemahuan.
Kemahuan memaknakan isyarat.
Mahu dan kemahuan menguntum menjadi bunga
bunga menjadi putik, putik menjadi buah, buah menjadi benih lalu tumbuhlah pohon-pohon mahu dan kemahuan!

Soalannya?
Di manakah pohon mahu dan kemahuan itu akan kita lokasikan?
Di pintu hatikah?
Di jendela bibirkah?
Di taman matakah?
atau nun jauh di dasar kebun hati?


Pohon mahu dan kemahuan semakin membesar.
Rantingnya.
Dahannya.
Tunas lalu berdaun.
Di situlah pertemuan aku dan tetamu hati.
Di bawah rimbun pohon mahu dan kemahuan.
Bisikkan aku ranting-ranting kerinduan.
Belailah aku dengan dahan-dahan kasih sayang.


Mahu dan kemahuan bertemu dengan izin Tuhan.
Matahari,
Bulan,
Siang ,
Malam,
Saat,
Minit,
Jam,
Hari,
Minggu,
Bulan,
Tahun,
Dekad,
Abad,
Kurun,
Masehi....akan kusemai pohon itu.

Peliharalah hubungan ini.
Sinarlah rahmatMu.



Kamalia mengait kata,
Sunway.
11.54 pagi.

Monday, February 14, 2011

Getar

Dada ini bergetar dialun ombak berombak bergulung membongkarkan gelora di dalam.
Debar jantung ini semakin kencang perasaan berbicara mengadu domba tika bibir rapat mengenggam sebuah dendam.

Hati dihiris-hiris kembali berkuping.
Senyum yang kuhidang pada dulang perkenalan pada tetamu kesepian basah dipenuhi air mata.
Tanda soal, tanda seru berselang seli menamu jendela fikiran sesekali aku jenguk pada sayunya not-not kata yang lama aku getap pada keringnya bibir yang dahaga kucup cumbu.

Tetamu kesepian itu aku hidangkan dengan tarian duka yang diiringi nada dan muzika seolah-olah ria.
Kaki menapakkan rentak-rentak indah mengasyikkan sang peleka, sang ralit yang hanya memerhati mata adan bibir yang menguntum senyum.
Merekalah mangsa pada hiasan kulit muka padahal mereka tidak tahu ada titis.
Ada titis menjadi tompok lalu menjadi kolam, kolam kecil lalu membesar menjadi aliran.
Aliran itu menjadi sungai yang arusnya makin laju menerpa pada setiap penjuru sungai air mata itu.

Keriuhan tamparan air pada gigi tebing itu menjadi raungan ini lemas dalam riak-riak putih air yang terkorban pada dada sang batu.
Air yang pecah itu bangkit meneruskan perjalanan.

Mengalirlah... mengalirlah pada bumi tuhan maha subur.
Ke mana sahajakamu pergi pasti menghidupkan segala tumbuhan layu., tanah kontang, pohon gersang.
Senyummu mampu melekakan sang dahaga.
Bagai kekuatan dari kuasa maha besar segala kedukaanmu lupus.

Ke manakah akhirnya perjalananmu?
Sang Pusara akan menunggu detik pertemuan keramat kau heretlah saat dan minit yang telah dijanjikan.
Dan bila tiba waktu itu... ingatlah aku,
Rasa debar yang makin lemh bergetar...
sirami pusaraku dengan titis airmatamu.
Doakan aku sejahtera dari mulus kelopak bibirmu.
Aminkan dan doakan aku sejahtera.




Kamalia.
2.53 pagi
15 Feb 2011
Sunway